Have an account?
Showing posts with label mahasiswa. Show all posts
Showing posts with label mahasiswa. Show all posts

Thursday, February 4

Mahasiswa Mendepani Perubahan


Nama mahasiswa yang berada di atas bahu para pemuda dan pemudi terpilih di seluruh tanah air merupakan suatu amanah yang tidak boleh dipandang enteng. Justeru peranan kita adalah begitu penting bagi memastikan kita mampu menjadi pemimpin generasi akan datang . Di dalam proses penerusan kepimpinan ini, ia bukanlah berlaku secara tiba-tiba tetapi ia akan menjelang melalui suatu proses pertukaran kepimpinan negara, organisasi besar dan kecil, seterusnya menjadi tokoh-tokoh yang akan menentukan halacara negara dan dunia pada masa akan datang.



Dalam proses membuat suatu perubahan, begitu banyak persediaan perlu dimantapkan dalam diri mahasiswa. Kita tidak perlu menunggu sehingga lengkap segala persediaan untuk mengatur tindakan ke arah perubahan tetapi segala persediaan perlu diperkemas setiap saat manakala dalam pada masa yang sama tindakan mengiringi.

Bentuk persediaannya adalah seperti berikut:

‌أ. Peningkatan Ilmu
Ilmu mestilah menjadi asas kepada semangat juang para mahasiswa, tanpa ilmu semangat yang berkobar-kobar mungkin sahaja boleh dipadamkan dengan ugutan, ancaman, tawaran wang dan harta benda dan sebagainya. Prinsip pegangan kita juga begitu mudah berubah mengikut peluang yang lebih menyenangkan. Ilmu bersama kejelasan matlamat Islam akan menjadi tunjang terkuat dan syarat asas kepada seluruh gerakan Dakwah Islamiyyah .

Justeru dengan ilmu serta rasa tanggungjawab penuh terhadap agama, negara dan bangsa. Mahasiswa akan mampu mendepani dan mengharungi ranjau serta onak tanpa berundur. Jikalau pun berundur berundur mereka berundur penuh perancangan dan strategi.

Sabda Baginda SAW:

Mafhumnya:
“Sesungguhnya kamu akan terus berada diatas kejelasan (kebenaran) hinggalah datang kepada kamu 2 kemabukan: Kemabukan Jahil dan mabuk cintakan dunia”

Rasulullah SAW juga bersabda:

Mafhum :
‘Saling bernasihatlah dalam ilmu serta janganlah kamu tutup ilmu itu anatra satu sama lain, kerana khianat pada ilmu itu lebih besar dosanya daripada khianat pada harta’ (Riwayat Abu Nai’m)

‌ب. Kematangan Pemikiran dan Pengalaman
Kematangan dalam menentukan tindakan yang paling tepat lagi berkesan akan dapat menghasilkan keberkesanan gerakan mahasiswa dalam mempelopori sesuatu perubahan.

Kepentingan pengamatan terhadap pengalaman terdahulu dimuatkan panduannya dalam Al-Quran sebagimana firman Allah :

Mafhumnya:
“ .. dan pada hari ini, kami kekalkan tubuh badan Fir‘aun sebagai tauladan kepada mereka yang selepas daripadanya”

Mahasiswa perlu menjadi pemerhati yang celik, pengamat yang teliti, pembaca yang tertib, perancang yang berstrategi serta pendesak yang berkesan. Untuk mencapai tahap tersebut kita tidak boleh lari daripada memperbanyakkan dialog dan perbincangan dengan para ulama’, cendiakawan, para pimpinan negara, pemimpin parti-parti alternatif, pakar-pakar, ahli profesional dan ahli masyarakat. Natijahnya dengan kefahaman itu mahasiswa akan mampu membuat keputusan yang berjejak di atas alam realiti berdasarkan pemikiran pelbagai lapisan masyarakat

Selain itu, mahasiswa harus giat mencari dan mengejar ilmu-ilmu yang diperlukan untuk menghidupkan teori yang dipelajari , usaha dan kerja keras sangat mustahak dalam proses ini. Inilah yang dikehendaki oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya :

Mafhum:
“Kebijaksanaan itu adalah barang tercicir daripada orang mukmin, maka sekiranya kamu menjumpainya kamulah paling layak untuk mengambilnya”

Ini membawa maksud Rasul mengajar kita mencari kebaikan di pelusuk alam, apabila diperolehi mesti ke atas kita mengambilnya demi untuk kebaikan dan kepentingan Islam.

‌ج. Kesatuan Pemikiran dan Tindakan Gerakan
Perpaduan antara beberapa pertubuhan mahasiswa perlu digemblengkan. Kefahaman yang jelas antara gerakan mahasiswa terutamanya yang kumpulan mahasiswa Islam sangat penting dan merupakan antara pra-syarat kepada keberkesanan gerakan dakwah. Justeru kefahaman akan tuntutan Islam antara sesama sendiri perlulah diselesaikan terlebih dahulu kerana ia akan mampu menyelasaikan cabangan-cabangan masalah lain .


Wassalam..


Friday, September 25

Alhamdulillah..

Dengan nama Allah yang pemurah lagi mengasihani.Segala puji tentunya bagi Allah, dan sejahtera keatas seluruh hambaNya yang terpilih.

Sebelum saya masuk kepada tajuk yang hendak saya sampaikan kepada saudara-saudara,sukalah saya melahirkan perasaan gembira yang tersemat di hati saya. Apa yang saya lihat di seluruh universiti dan pusat-pusat pengajian di dunia Islam, bahkan di setengah-setengah dunia bukan Islam, wujudnya kumpulan pemuda Islam yang beriman penuh dengan 'akidah Islam, menyedari tanggungjawab mereka sebagai orang Islam dan sanggup mengorbankan sepenuh tenaga mereka untuk menegakkan semangat Islam di pusat-pusat pengajian tinggi tersebut.

Gejala ini patut sangatlah mendapat sanjungan,penghargaan dan sambutan dari orang yang mempunyai perasaan tulus ikhlas kepada dunia Islam, kerana Allah dengan kemurahanNya telah mengurniakan kepada umatnya yang lemah ini pemuda-pemuda yang tahu akan tanggungjawab.

Mereka ini menunaikan tanggungjawab itu secara aktif dengan penuh kesedaran di pusat-pusat pengajian tinggi dalam semua bidang pendidikan,sekalipun sistem pendidikan di seluruh dunia Islam sekarang ini dikuasai oleh cara berfikir dan tradisi barat.

Pelajar-pelajar yang sedang berada di universiti-universiti dan fakultifakulti tentulah sudah besar,matang,mempunyai kesedaran dan boleh membezakan di antara buruk dan baik.Begitu juga pelajaran yang diterimanya membolehkan mereka mengetahui identiti mereka jika mereka mahu dan juga membolehkan mereka maju ke hadapan jika mereka bergerak.

Segala kerumitan dalam hal ini bukanlah menjadi beban kerajaan sematamata,bahkan menjadi tanggungjawab pelajar-pelajar juga.Pelajar-pelajar adalah muda-muda belaka.Mereka hendaklah menyedari secara sungguh-sungguh bahawa mereka adalah orang Islam yang dijemput untuk hidup di atas muka bumi ini dengan cara hidup yang bercorak Islam.

Hal ini memastikan diri mereka bersemarak dengan api cinta untuk mengetahui apakah sistem yang menjamin hidup mati mereka dan apakah sifat-sifat nyata yang membezakan umat Islam,iaitu sifat-sifat yang mesti ada untuk hidup mati identiti Islam.

Kulluam Waantum Bikhair..
Maasalaamah..

Wassalam..

Thursday, July 2

Mahasiswa Perlu Bersedia..

Dunia Islam pada abad-abad mutakhir ini rata-rata sedang dilanda gejala riddah. Demikianlah kesimpulan yang telah dibuat oleh beberapa tokoh Islam masa kini seperti Al-Marhum Ustaz Said Hawa dan Abu Hassan Ali An-Nadawi. Dalam pembuktiannya terhadap kewujudan gejala tersebut Ustaz Sayid Hawa telah menyenaraikan beberapa ciri riddah yang terdapat dalam kehidupan masyarakat dunia Islam kini. (1) Antaranya termasuklah sifat mentaati golongan yang tidak senang dengan ajaran Allah, tidak mahu melaksanakan hukum-hukum Allah, tidak mahu mencari penyelesaian dari kitab Allah apabila berlaku pertikaian di kalangan mereka. Selain itu, beliau juga berhujjah telah berlaku perkara-perkara yang membatalkan syahadah. (2) Sementara itu, Abu Hassan Ali An-Nadawi pula membuktikannya dengan gejala penyerapan falsafah barat yang bersifat Ilhad ke dalam masyarakat Islam. Keadaan tersebut berlaku dengan berleluasa di tengah-tengah kelemahan ummat Islam kini yang disifatkan sebagai generasi paling buruk dalam sejarah. (3)

Ternyata bahawa umat Islam kini mengalami keadaan gawat dan genting yang memanggil tenaga-tenaga penyelamat untuk menangani masalah ini. Situasi kini yang penuh dengan tipu helah, sepak terajang dan taktik jahat musuh menghendaki bahawa hanya golongan yang benar-benar berwibawa sahaja yang berjaya melawan arus keruntuhan ini. Manakala mereka yang kurang persiapan mempunyai kemungkinan untuk sama-sama hanyut dan larut sebelum matlamat suci yang ingin diperjuangkan tercapai.

Menyedari hakikat inilah maka usaha-usaha yang gigih perlu diambil untuk memperlengkapkan diri sebagai bakal ulama', dai’ dan tempat rujuk masyarakat dengan bekalan-bekalan yang perlu supaya kita dapat berperanan dengan lebih berkesan apabila terjun ke arena dakwah nanti. Antara persiapan terpenting ialah persiapan dari sudut keilmuan dan perorganisasian. Di samping itu, kita juga hendaklah menjadi seorang mahasiswa yang bermisi dan bervisi (berwawasan).

Wassalam..

Sunday, June 28

Kemahasiswaan dan Isu-isu Akhlak

Seperti yang telah disebutkan di atas, ternyata kebelakangan ini kita menyaksikan usaha-usaha yang cukup ghairah untuk mencapai kecemerlangan dalam setiap bidang. Kita juga sedar bahawa kecemerlangan tidak sahaja ditentukan oleh teknik pengurusan serta bantuan alat semata-mata, tetapi lebih dari itu ia ditentukan juga oleh faktor kemanusiaan, atau nilai-nilai insan itu sendiri.

Dalam mencapai aspirasi pembangunan misalnya, manusia adalah unsur yang paling menentukan kejayaannya. Pembangunan tidak bererti jika manusia itu sendiri runtuh. Justeru itu nilai-nilai akhlak amat perlu diberi penekanan dalam gerakan kemahasiswaan agar pembangunan yang ingin digarap seimbang dengan nilai-nilai keislaman. Tidak ada ertinya pembangunan tanpa kesehjahteraan dunia dan akhirat.

Tatacara menangani masalah-masalah masyarakat mesti difahami dengan tepat dan direalisasikan dalam berbagai lapangan hidup. Malah disertai dengan rasa tanggungjawab iaitu dengan menganggap jatuh bangunnya gerakan Islam, nasib ummah adalah di tangan golongan pencinta Islam yang sepatutnya bingkas berbuat bergerak menyusun rancangan dan sebagainya Sikap lemah, acuh tak acuh adalah sikap mukhallafun (golongan yang enggan berjuang) yang dibenci oleh ALlah.

Semangat dan usaha menentang setiap yang bemama kemungkaran pula harus berkobar atau dikobarkan. Tanpa semangat ini iman akan menjadi lesu. Tekad jihad akan menjadi lemah dan tidak mampu menampilkan daya juang ke taraf maksikma. Roh yang tidak ada keazaman berjihad adalah roh yang masih bergelumang dengan semangat jahiliah seperti yang pernah ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w.

من مات ولم يغز ولم يحدث نفسه بغزو , ومات على شعبة من النفاق

"Barangsiapa yang mati dan tidak berjihad dan tidak pernah bercita-cita untuk berjihad, mati dalam keadaan munafik".

ما ترك قوم الجهاد إلا عمهم الله بالعذاب

"Mana-mana kaum yang meninggalkan jihad nescaya ALlah akan mengenakan rnereka dengan seksaan yang merata."

Keunggulan, keagungan dan keindahan Islam sudah begitu banyak diperkatakan. Apa yang belum dikotakan dan ditampilkan dengan konkrit untuk zaman ini ialah contoh-contohnya yang nyata dan realisasinya. Setiap aktivis Islam berkewajipan membuktikan ajaran Islam itu dalam diri, keluarga dan wadah pergerakan mereka. Kita sepatutnya menjadi Ummatan Wassatan yang boleh memainkan peranan sebagai syuhada' 'linnas. Ini adalah suatu cabaran dan tanggungjawab yang besar dan berat. Mampukah gerakan mahasiswa memikul beban ini? Apakah kita berdaya atau mampu melaksanakan tugas-tugas Khaira umatun ukhrijat linnas (ummah terbaik) yang ditampilkan kepada manusia? Inilah cabaran yang menunggu jawaban praktikal daripada kita sekalian.

Perlu disedari gerakan kemahasiswaan harus menekan persoalan gerak kerja dakwah yang berkesan, dengan praktik akhlak Islam yang betul dalam konteks haraki Lantaran tanpa akhlak pembelotan, pengkhianatan dan sindrom individu tercicir dari gerakan dakwah akan berlaku. Sejarah telahpun mencatatakan fenomena ini, di mana figure yang 'gagah' dan mantap sekalipun boleh tercicir. Kita khuatir dengan adanya sindrom ini persaudaraan bertukar menjadi permusuhan, idealisme hanyalah ibarat impian di siang hari.

Memang tidak mudah untuk berpaut dengan nilai-nilai murni seperti yang ditegaskan oleh ALlah. Apatah lagi dalam suasana yang penuh dengan ransangan yang menarik manusia supaya melutut kepada tuntutan syahwatnya. Tidak mudah untuk mengamalksn sikap-sikap mulia dan akhlak-akhlak yang luhur dalam kemelut masyarakat yang menghakis segala daya tahan dan daya juang aktivis Islam. Tepat seperti yang ditegaskan oleh ALLAH:


"Kalaulah tidak kerana kurnia dan rahmat ALIah nescaya tidak ada seorang pun dari kamu yang disucikan (jiwa dan hati nuraninya) ".

Tidak dapat dibayangkan betapa suramnya gambaran nasib umat sekiranya golongan pendakwah khususnya mahasiswa Islam gagal menghayati nilai warisan ini. Kalau mereka gagal mencapai cita-cita besar yang merujuk kepada pengembalian penghayatan Islam maka ini adalah suatu yang malang. Akan tetapi yang lebih malang ialah apabila nilai-nilai suci dan murni agama ini gagal dihayati dalam peringkat diri, keluarga dan wadah sendiri. Untuk mengelakkan hal ini maka para Dai' harus mengatasi kelemahan diri masing-masing.

Abu Nasr As-Saraj menyatakan bahawa dari segi adab manusia terbahagi kepada tiga peringkat:

- Ahlu 'd-Dunia: kebanyakan realisasi adabnya ialah dalam bentuk (memperelok) gaya bahasa dan kefasihan, menghafal ilmu dan sya'ir gurindam.

-Ahlu 'd-Din: kebanyakan manifestasi adabnya ialah mengasuh diri, mendisiplinkan anggota, menjaga batasan ALlah dan meninggalkan tuntutan syahwat.

- Ahlu' I Khususiah : kebanyakan latihan disiplin diri mereka ialah menjernihkan hati, mengelokkan batin, menunaikan janji (antara hamba dan tuhannya), menjaga waktu, kurang melayani perasaan dan lintasan filciran (yang tidak bermakna), sikap dan bicaranya sopan ketika memohon, ketika mendekatkan diri kepada ALLAH.

Tanpa bersikap prejudis kita percaya gerakan mahasiswa mampu mencipta budaya kerja serta arus pergerakan yang cemerlang, kiranya mereka dapat memanfaat, menggarapi serta menanamkan roh serta nilai-nilai unggul agama sebagai teras serta arah perjuangam Semangat kecemerlangan mcmang cukup menyerlah dalam pelbagai aspek ajaran Islam. Allah sendiri menyatakan diri-Nya dengan sifat-sifat superlatif seperti Ahsanu 'I-khaliqin (Pencipta yang terbaik), Ahkamu 'I-hakimin (Hakim yang mengungguli segala hakim) dan sebagainya manusia sendiri dinyatakan sebagai makluk yang berkualiti tinggi - ahsani taqwim (ciptaan terbaik).

Wassalam..

Friday, June 26

Keselarasan Roh dan Pemikiran Dalam Gerakan Kemahasiswaan

Kecenderungan masyarakat dewasa ini kembali kepada ajaran dan nilai-nilai Islam agak ketara. Ini sejajar dengan proses kematangan pemikiran ummat setelah melalui sekian banyak Peristiwa-peristiwa yang mengandungi suka duka hidup. Sudah pasti keinginan dan keghairahan untuk kembali menghayati Islam sedemikian rupa memerlukan skima pemikiran yang mantap, jelas dan kaya dengan inspirasi, modal dan gagasan baru dalam berbagai aspek. Islam yang hendak dihayati itu tentulah Islam dalam bentuk yang setaraf dengan cabaran, wawasan dan tuntutan masa kini. Ia perlu segar dan mempunyai unsur tajdid.

Dalam menangani situasi begini, gerakan mahasiswa harus sedar bahawa kehadiran serta peranan mereka akan menjadi lebih dominan serta bersemarak, kiranya mereka dapat memastikan bahawa keghairahan untuk menghayati Islam tersebut memerlukan mereka sendiri bahkan setiap aktivis yang dididik memiliki roh dan pemikiran Islam. Roh dan pemikiran Islam terjunam kukuh serta dapat diselaraskan di semua peringkat pengikut serta penggerak organisasi.

Keselarasan ini harus merangkumi kesedaran tentang:

1. Islam ialah suatu Manhajul Hayah (sistem hidup) yang sepatutnya menjadi dasar negara dan budaya ummah

2. Kesempurnaan Islam (syumuliyatu 'I-Islam) dan ajarannya perlu berfungsi dalam masyarakat

3. Keperluan bergerak dalam satu rangka pemikiran yang selaras, searah dan dalam satu wadah pergerakan dengan fiqh prioritas syara' yang mu'tabar

4. Kemestian menolak aspek-aspek salbiah (negatif), ittikaliah (tawakal yang tidak bertempat), pessimistik dan faham sekularisme dalam amalan dan pemikiran

5. Kemestian mengasaskan ilmu atas dasar yang integrated (sepadu), sempuma dan selaras dengan nilai-nilai rabbaniah

6. Kemestian menuju ke arah kepimpinan yang mempunyai ilmu yang mutakamil (sepadu) dan memililci ciri-ciri warathatun-Nubuwah (pewaris ciri-ciri kenabian) untuk mengurangkan berlakunya kemungkinan-kemungkinan negatif

7. Keperluan menghargai wadah-wadah Islam yang lain serta sumbangan masing-masing dalam membawa ummah ke arah peningkatan hidup secara Islam

8. Peningkatan kesedaran sosio-politik untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam segenap peringkat dan bidang, sama ada peringkat pasca komunisme, mahupun peringkat New World Order

9. Penggarapan apa yang boleh dicapai dalam batas kemampuan dan kesempatan masa kini.

10. Kepentingan meningkatkan akhlak dalam konteks pergerakan dan juga berinteraksi dengan individu serta masyarakat.


Wassalam..

"KESEDARAN MEMIMPIN KEMAJUAN"

Tuesday, May 12

PENGISIAN PEMUDA DI ALAF BARU

secara ringkas cuba menyarankan kepada masyarakat, pemuda khususnya beberapa tindakan dan langkah yang perlu diambil bagi menghadapi berbagai cabaran yang sedang dan akan membiak dan mewabak dalam era alaf baru ini dalam jangkamasa yang terdekat dan terjauh. Sebelum itu aspek beberapa realiti dalam alaf baru serta cabaran-cabarannya akan diperturunkan sebelum saranan aspek tindakan dan langkahan dikenalpasti. Tindakan dan langkahan akan dijuzukkan dalam judul visi atau wawasan. Kertaskerja ditamatkan dengan satu kesimpulan.


Realiti

2.1 Proses perubahan dan proses pembangunan dalam berbagai aspek di dunia masakini, terutama dalam era melangkah masuk alaf baru ini, begitu rancak, pantas, kompleks, sofistiketed, canggih dan dalam banyak hal, begitu celaru dan terbabas pula dari kawalan kita sehingga tak terdaya kita ikuti lagi dan terpaksa membiarkan saja arus perubahan dan pembangunan itu mengalir dan mewabak entah ke mana. Di mana-mana saja sekarang ini persoalan tentang perihal ini, terutamanya kesan masa depannya, sering menjadi topik perbincangan dikalangan para politikus, para pentadbir, ahli akademik, para pemikir dan tak tinggalan juga para pemuda dalam berbagai kategori dan berbagai perspektif.

2.2 Banyak realiti baru yang kadang-kadang tak terduga oleh kita terpaksa kita depani. Penemuan saintifik mencakupi bioteknologi dan mikrocip, krisis kepimpinan politik, aliran baru dalam ekonomi, budaya baru dalam gaya hidup dan berbagai lagi sedang membentuk peradaban baru dan sekaligus pula memusnahkan peradaban lama yang mudah dianggap usang dan lapuk.

2.3 Realiti utama yang kita perlu fahami ialah perpindahan kuasa dunia yang menjadi antara faktor penting dalam proses perubahan dan pembangunan. Profil geopolitik dunia sebelumnya yang bercorak Bipolar yang memperlihatkan dua kuasa dunia yang menentukan arah : Amerika Syarikat dan Rusia. Kini kuasa Rusia sudah terhakis dan kuasa dunia berubah menjadi corak Unipolar dengan Amerika Syarikat cuba tegak sebagai satu-satunya kuasa besar yang bersifat penentu. Dan kini sudah pula berada dalam era transisi dengan Amerika Syarikat mulai memperlihatkan kehakisan nilai dan kuasanya dan kuasa dunia dikatakan akan bersifat Multipolar. German, Jepun, Cina dan juga Amerika bersama memegang kuasa itu.

2.4 Dari segi realiti yang lebih bersifat spiritual, ternyata Islam kini sedang membangun dengan berbagai cabaran dan sedang gelut memperlihatkan kesahihan dan kebenaran dan keadilan : baik di dunia ini mahupun di akhirat nanti. Islam kini sedang memperlihatkan wajah dan nilainya di mana-mana dalam berbagai aspek, mencakupi politik, pendidikan, komunikasi, kebudayaan, ekonomi, perundangan, kekeluargaan, dan berbagai lagi.

2.5 Salah satu lagi realiti yang sedang kita depani ialah anjakan bermula dari masyarakat pertanian kepada masyarakat perindustrian dan dari perindustrian kepada masyarakat informasi dengan kecanggihan alat komunikasinya. Aspek komunikasi ini mewabak begitu rancak dalam berbagai aspek sehingga kesannya lebih banyak yang bersifat negatif dari positifnya, kita berdepan dengan realiti ini sekarang ini.

2.6 Selain itu kita juga berdepan dengan gaya hidup moden yang serba mencabar kerana begitu mempengaruhi masyarakat terutama muda-mudinya. Gaya hidup moden ini yang sering juga dinamakan pasca-modenisme terlalu banyak kalau hendak disenaraikan tersebati dalam berbagai aspek, antara lain ialah melalui budaya seribu satu seperti muzik, olahraga, sukan dan latihan jasmani, fesyen pakaian, pergaulan bebas, anti tradisi, anti fitrah, hubungan sex yang bebas dan serba radikal termasuk perihal liwat atau sodomi, kehakisan ikatan keluarga, kehakisan keinsanan, renggang generasi, pemujaan wira yang songsang, kepesonaan kekayaan dan pembolotan benda, peminggiran nilai agama melalui sekularisme, proses pencariaan makna yang akhirnya kehilangan makna yang termasuk dalam ajaran-ajaran sesat, berbagai aktiviti seni yang mabuk rasa dan “syoksyok sendiri”, kesan media masa yang korap yang sukar dikikis akhirnya kehakisan budaya kekitaan atau jemaah yang diganti dengan budaya keakuan atau individualiti.

2.7 Masih banyak lagi realiti yang sedang mewabak didepan dan keliling kita dan perlu kita hadapi dan tangani. Realiti-realiti ini bukan saja wujud tapi sering pula menguji dan mencabar kita ; malah setiap detik provoke kita. Kita sering diheretnya bersama dengannya dan kebanyakan antara kita tenggelam hanyut entah ke mana: terutamanya dikalangan muda-mudi kita yang mudah terpesona kerana tidak punya paradigme yang sahih untuk menghadapinya. Semua realiti ini adalah cabaran-cabaran bagi kita. Terutamanya para pemuda dalam era alaf baru ini.

Wassalam

Monday, April 20

Perkembangan dalam Membawa Islam

AGENDA MAHASISWA

Pergerakan mahasiswa Alaf Baru hendaklah memperkasa agenda melahirkan mahasiswa yang menjunjung maruah manusia terpelajar, berkhidmat untuk agama, negara dan bangsa, tanpa mengharapkan ganjaran material yang segera.

Gerakan mereka wajib meneruskan mata rantai perjuangan leluhur silam, menjauhi kebatilan, memiliki keterbukaan pemikiran, mempelopori perubahan disamping berpegang teguh kepada prinsip-prinsip perjuangan.


WANITA

Agenda wanita 2000 ialah melengkapkan diri mereka dari segi rohani, jasmani dan ilmu bagi membina kekuatan jatidiri mereka demi menghadapi alaf baru yang mencabar

Berjuang untuk mengembalikan hak-hak mereka yang telah dianugerahkan oleh Islam dengan menjadikan al Quran dan As Sunnah sebagai landasan pergerakan mereka

Mempastikan pelaksanaan hukum dan undang-undang di lakukan secara yang lebih baik melalui pendaulatan sistem dan undang-undang syariah, pengiktirafan kepada hakim syarie dan kakitangan mahkamah syariah dan berkerja keras untuk mempastikan mereka menduduki martabat yang setanding dengan hakim dan kakitangan mahkamah sivil.

Gerakan Wanita Islam Alaf Baru wajar meningkatkan semangat sukarela dengan melibatkan diri secara lebih aktif dalam usaha dakwah, ekonomi, politik dan sosial.



Wassalam

Tuesday, March 24

PERANAN SISWAZAH MENONGKAH ALAF BARU




“ Katakanlah : Inilah jalan ( Deen ) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak ( kamu ) kepada ALlah dengan hujjah yang nyata.”
( Yusof : 108 )


Sahabat-sahabat……


Adalah suatu perkara penting yang harus diinsafi bahawa kelesuan, kebekuan dan kealfaan golongan mahasiswa khususnya yang ingin disentuh dalam kertas kerja dasar ini iaitu golongan siswazah
( pelajar universiti yang telah berjaya mendapat ijazahnya ) akan menatijahkan kekalahan dan kejumudan perjuangan Islam. Lebih-lebih lagi dalam berhadapan dengan suatu zaman baru – alaf baru yang sebegitu banyak menjanjikan cabaran – mehnah dan tribulasi
( ibtila’ ) yang telah mengembanglebarkan sayapnya di segenap senario dunia dan seantero usia. Justeru itu, generasi ini perlu terus sedar dan menginsafi akan kepentingan penglibatan mereka dalam membawa agama Tauhid ini ke mercu jaya dan mengembalikan semula hak keTuhanan kepada Yang Maha Berhaq dan hak perundangan kepada Syariat Allah yang telah termaktub/tergazet di dalam Al Qur’an, As Sunnah, Qias dan Ijmak para Ulama'.


CONTOH-CONTOH TUGAS YANG LEBIH KHUSUS


01. Model/ Qudwahtun Hasanah ; Pendakwah yang menzahirkan personaliti individu mukmin sejati.


02. Agen Reformis/Pengislahan ; menjadi pemangkin peralihan ke arah pembentukan methodologi perjuangan yang lebih sistematik dan sofistikated. Gunakan apa jua kepakaran dan kepandaian yang ada sebagai seorang intelektual Islam.


03. Agen Pendesak ; aktif dalam memberi kritikan, komentar dan tuntutan terhadap kerajaan. Harus menjadi perancang dan pelaksana serta penggerak apa jua program Islami.


04. Agen Pemantau ; mengetuai gerakan kajian dan penyelidikan terhadap setiap isu penting negara untuk kegunaan Islam.


05. Agen Motivater ; menjadi Pegawai Penerangan Jama’ah dalam membangkitkan kesedaran dan motivasi rakyat.


06. Agen Masyarakat ; menjadi pembela dan pejuang kebajikan masyarakat dalam apa jua segi.


07. Rausyanfikr – Golongan Pemikir dan ‘Ice breaking’ , etc.



BEBERAPA SIKAP YANG PERLU BAGI SISWAZAH PEJUANG YG. BERIMAN & BERTAQWA


01. Ikhlas – Dalam beragama


02. Beramal – Taqarrub ilaLlah


03. Istiqomah – Sedia berkorban apa jua


04. Reda – Berlapang dada


05. Zuhud – Cukup ALlah segala-galanya


06. Tawadhuk – Jiwa seorang hamba


07. Tawakkal – Sangka baik kepada Allah s.w.t



SISWAZAH SEBAGAI ASET PENTING NEGARA & PENENTU HALATUJU MASA DEPAN UMMAH


Siswazah yang merupakan golongan muda amat sesuai dianggap sebagai sebahagian daripada aset penting negara. Ini kerana mereka inilah yang akan meneruskan kesinambungan sesebuah pemerintahan bagi sesebuah negara. Siswazah yang beriman dan bertaqwa akan mampu membawa negara Malaysia menjadi sebuah negara yang dipenuhi barokah dan redha ALlah. Merekalah yang akan menentukan masa depan ummah sama ada menjadi satu ummah yang bertaqwa dan meneruskan hidup berlandaskan hudud-hudud yang telah ditetapkan-Nya atau sebaliknya. Sesungguhnya, setiap yang bernyawa akan mati maka itulah janji ALlah kepada kita ummat manusia. Oleh yang demikian menjadi suatu kemestian bagi yang masih ada untuk meneruskan perjuangan yang telah ditinggalkan.

Inilah yang dimaksudkan oleh As Syahid Syed Qutb ketika menyatakan bahawa kita akan merasa sempit seandainya kita mengatakan bahawa perjuangan ini kitalah yang memulakan dan mengakhirkannya. Tetapi kita tidak akan merasa sempit apabila kita yakin dan percaya bahawa kita adalah penerus kepada satu-satu perjuangan. Ummah Siswazah merupakan golongan yang akan tinggal dan ditinggalkan. Maka, oleh itu merekalah aset penting negara yang akan meneruskan pemerintahan dan pentadbiran negara dalam menjaga kepentingan ummah. Peranan ini tidak akan mampu mereka mainkan seandainya mereka tidak peka terhadap permasalahan negara dan rakyat seluruhnya. Keprihatinan wajar dimulakan daripada sekarang bagi mempastikan mereka benar-benar ‘competent’ ( layak ) untuk mengambilalih tampuk pemerintahan yang ada sama ada mahu atau tidak. Itulah tanggungjawab kita sebagai ummat Islam yang merupakan khalifah ALlah di atas muka bumi ini.


“ Bukankah Allah itu mencukupi keperluan hambaNya ? Dan mereka menakut-nakutkan kamu dengan sesuatu selainNya. Dan siapa yang dibiarkan sesat oleh ALlah maka tiadalah dia akan memperolehi pemimpin yang akan memimpinnya.”
( Az Zumar : 3 – 6 )



Salam takzim.


Selamat Berjuang & Beristiqomah


Wassalamu’alaikum Wama’annajjah Wailal Liqa.
Related Posts with Thumbnails