Have an account?

Tuesday, May 12

PENGISIAN PEMUDA DI ALAF BARU

secara ringkas cuba menyarankan kepada masyarakat, pemuda khususnya beberapa tindakan dan langkah yang perlu diambil bagi menghadapi berbagai cabaran yang sedang dan akan membiak dan mewabak dalam era alaf baru ini dalam jangkamasa yang terdekat dan terjauh. Sebelum itu aspek beberapa realiti dalam alaf baru serta cabaran-cabarannya akan diperturunkan sebelum saranan aspek tindakan dan langkahan dikenalpasti. Tindakan dan langkahan akan dijuzukkan dalam judul visi atau wawasan. Kertaskerja ditamatkan dengan satu kesimpulan.


Realiti

2.1 Proses perubahan dan proses pembangunan dalam berbagai aspek di dunia masakini, terutama dalam era melangkah masuk alaf baru ini, begitu rancak, pantas, kompleks, sofistiketed, canggih dan dalam banyak hal, begitu celaru dan terbabas pula dari kawalan kita sehingga tak terdaya kita ikuti lagi dan terpaksa membiarkan saja arus perubahan dan pembangunan itu mengalir dan mewabak entah ke mana. Di mana-mana saja sekarang ini persoalan tentang perihal ini, terutamanya kesan masa depannya, sering menjadi topik perbincangan dikalangan para politikus, para pentadbir, ahli akademik, para pemikir dan tak tinggalan juga para pemuda dalam berbagai kategori dan berbagai perspektif.

2.2 Banyak realiti baru yang kadang-kadang tak terduga oleh kita terpaksa kita depani. Penemuan saintifik mencakupi bioteknologi dan mikrocip, krisis kepimpinan politik, aliran baru dalam ekonomi, budaya baru dalam gaya hidup dan berbagai lagi sedang membentuk peradaban baru dan sekaligus pula memusnahkan peradaban lama yang mudah dianggap usang dan lapuk.

2.3 Realiti utama yang kita perlu fahami ialah perpindahan kuasa dunia yang menjadi antara faktor penting dalam proses perubahan dan pembangunan. Profil geopolitik dunia sebelumnya yang bercorak Bipolar yang memperlihatkan dua kuasa dunia yang menentukan arah : Amerika Syarikat dan Rusia. Kini kuasa Rusia sudah terhakis dan kuasa dunia berubah menjadi corak Unipolar dengan Amerika Syarikat cuba tegak sebagai satu-satunya kuasa besar yang bersifat penentu. Dan kini sudah pula berada dalam era transisi dengan Amerika Syarikat mulai memperlihatkan kehakisan nilai dan kuasanya dan kuasa dunia dikatakan akan bersifat Multipolar. German, Jepun, Cina dan juga Amerika bersama memegang kuasa itu.

2.4 Dari segi realiti yang lebih bersifat spiritual, ternyata Islam kini sedang membangun dengan berbagai cabaran dan sedang gelut memperlihatkan kesahihan dan kebenaran dan keadilan : baik di dunia ini mahupun di akhirat nanti. Islam kini sedang memperlihatkan wajah dan nilainya di mana-mana dalam berbagai aspek, mencakupi politik, pendidikan, komunikasi, kebudayaan, ekonomi, perundangan, kekeluargaan, dan berbagai lagi.

2.5 Salah satu lagi realiti yang sedang kita depani ialah anjakan bermula dari masyarakat pertanian kepada masyarakat perindustrian dan dari perindustrian kepada masyarakat informasi dengan kecanggihan alat komunikasinya. Aspek komunikasi ini mewabak begitu rancak dalam berbagai aspek sehingga kesannya lebih banyak yang bersifat negatif dari positifnya, kita berdepan dengan realiti ini sekarang ini.

2.6 Selain itu kita juga berdepan dengan gaya hidup moden yang serba mencabar kerana begitu mempengaruhi masyarakat terutama muda-mudinya. Gaya hidup moden ini yang sering juga dinamakan pasca-modenisme terlalu banyak kalau hendak disenaraikan tersebati dalam berbagai aspek, antara lain ialah melalui budaya seribu satu seperti muzik, olahraga, sukan dan latihan jasmani, fesyen pakaian, pergaulan bebas, anti tradisi, anti fitrah, hubungan sex yang bebas dan serba radikal termasuk perihal liwat atau sodomi, kehakisan ikatan keluarga, kehakisan keinsanan, renggang generasi, pemujaan wira yang songsang, kepesonaan kekayaan dan pembolotan benda, peminggiran nilai agama melalui sekularisme, proses pencariaan makna yang akhirnya kehilangan makna yang termasuk dalam ajaran-ajaran sesat, berbagai aktiviti seni yang mabuk rasa dan “syoksyok sendiri”, kesan media masa yang korap yang sukar dikikis akhirnya kehakisan budaya kekitaan atau jemaah yang diganti dengan budaya keakuan atau individualiti.

2.7 Masih banyak lagi realiti yang sedang mewabak didepan dan keliling kita dan perlu kita hadapi dan tangani. Realiti-realiti ini bukan saja wujud tapi sering pula menguji dan mencabar kita ; malah setiap detik provoke kita. Kita sering diheretnya bersama dengannya dan kebanyakan antara kita tenggelam hanyut entah ke mana: terutamanya dikalangan muda-mudi kita yang mudah terpesona kerana tidak punya paradigme yang sahih untuk menghadapinya. Semua realiti ini adalah cabaran-cabaran bagi kita. Terutamanya para pemuda dalam era alaf baru ini.

Wassalam

0 Tinggalan Kata-kata:

Related Posts with Thumbnails