Have an account?

Monday, March 22

~Kasih Ibu~


Kami tiba di hadapan istana usang, yang anjungnya sudah ranap menyembah bumi. Aku, Su dan Adi memutar kenangan silam yang tidak mungkin akan kami lupakan hingga akhir hayat. Lantas, kenangan itu berlegar-legar di ingatanku dan bagaikan sebuah filem, ia terlayar kembali di ruang mataku.
* * * * *
Pagi itu, aku dan adikku, Adi, akan pulang ke asrama kerana cuti persekolahan telah tamat setelah hampir dua bulan kami bercuti. Bekalan sudah siap tersedia, segala pakaian, buku-buku dan keperluan lain telah disiapkan.
Sewaktu bersarapan, ibu sempat berpesan agar kami berdua belajar bersungguh-sungguh demi membela nasib keluarga kami yang telah kehilangan tempat bergantung semenjak kematian ayah yang tercinta enam bulan lalu. Ini merupakan tahun keempat bagiku bersekolah asrama iaitu sejak aku berada di tingkatan satu manakala bagi Adi pula, ini merupakan tahun keduanya bersekolah asrama.
“Amir, Adi, ibu nak Amir dan Adi belajar betul-betul. Bila sampai di asrama nanti, buat baik dengan kawan-kawan, jangan gaduh. Kena ingat, kita ni orang susah, ayah dah tak ada. Amir, buat yang terbaik dalam pelajaran demi membela nasib adik-adik ni. Ibu selalu doakan agar Amir sentiasa cemerlang dalam pelajaran dan dapat keputusan yang bagus nanti. Adi, ibu harap Adi akan bijak dalam menggunakan masa yang terluang ketika di asrama nanti. Bila ada waktu, jangan lupa belajar. Dalam masa yang sama, anak-anak ibu mesti aktif dalam aktiviti sekolah. Itu akan membantu kalian nanti. Ibu hanya mampu berdoa agar anak-anak ibu berjaya dalam pelajaran dan jadi orang yang berguna apabila besar nanti. Ibu tak dapat memberi kamu kesenangan, kamulah yang harus bangkit mencari kesenangan untuk diri kamu sendiri….” ibu berhenti setakat ini.
Aku nampak mata ibu merah. Ibu menahan air matanya daripada mengalir agar ibu tidak kelihatan lemah di mata anak-anaknya. Aku tahu itu. Ibu sentiasa berpesan agar kami adik-beradik tidak akan sekali-kali memperlihatkan kesedihan mahupun kesusahan kepada orang lain, biarlah segalanya dipendam sendiri kerana itu menunjukkan kekuatan kami yang tidak mudah melatah dengan suratan kehidupan. Namun, aku nampak kegagahan ibu mengawal emosinya. Su sudah lama menangis. Aku dan Adi diam membisu. Ruang dapur yang sempit itu senyap sunyi, yang kedengaran hanyalah tangisan Su. Setelah agak reda, ibu menyambung lagi.
“Ambil duit ini, buat belanja sekolah. Jangan bazirkan duit itu. Cuma itu sahaja yang ibu ada,” ibu bangun dan menuju ke pelantar dapur.
Aku tahu waktu itu ibu menangis. Hampir tiga minggu sekolah dibuka, aku masih belum dapat melupakan kampungku, rumahku dan ibuku. Walaupun sudah tiga tahun aku di sini dan ini merupakan tahun keempatku di asrama, namun ini merupakan tempoh yang paling lama bagiku untuk melupakan semuanya dan kembali bersekolah seperti biasa. Mungkin kerana tahun ini merupakan tahun pertama aku meninggalkan ibu dan Su di rumah tanpa ayah. Sejak pemergian ayah, kehidupan aku sekeluarga bertambah susah. Ibu terpaksa bangun awal untuk menoreh getah di kebun kami yang sekangkang kera itu. Manakala Su menguruskan rumah dan pada masa yang sama sibuk mengulangkaji pelajaran. Pada tahun lalu, Su berjaya mendapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Sama seperti aku dan Adi, Su pastinya akan mendapat tawaran ke asrama penuh dan akan meninggalkan ibu dengan pilu hatinya.
Tepat sekali jangkaan aku ini. Beberapa hari kemudian, Su memberitahu bahawa dia telah mendapat tawaran ke Maktab Rendah Sains Mara Kulim, Kedah ketika aku menelefon rumah bertanyakan khabarnya serta ibu.
Cuti Tahun Baru akan bermula pada minggu hadapan. Aku akan pulang untuk membantu Su menyediakan persiapannya untuk ke Kulim. Dia akan mendaftarkan dirinya di sana sejurus selepas cuti Tahun Baru ini.
* * * * *
Suasana hening kampungku membuatkan aku pilu. Gemersik alunan azan dari corong surau kampungku menyentuh pangkal hatiku. Fikiranku melayang jauh memikirkan Su yang akan meninggalkan kampung halaman untuk menyambung harapan keluarga. Alangkah jauhnya Su nanti. Kampung halaman di selatan, Su pula akan ke utara. Mujur aku dan Adi bersekolah di Negeri Sembilan, tidaklah begitu jauh jika hendak dibandingkan dengan Su yang akan ke Kedah. Walaupun tidak bersekolah di sekolah yang sama, namun kami sering pulang ke kampung bersama kerana pada kebiasaannya, tarikh kami mendapat cuti sama sahaja. Lantas, aku akan menunggu Adi di perhentian bas untuk pulang bersama.
Pagi itu, aku dan Adi ke kebun untuk mengutip hasil tanaman arwah ayah. Walaupun hasilnya tidak seberapa, namun sedikit sebanyak dapat membantu beban ibu yang acapkali mencongak wang untuk menghantar Su ke Kulim. Su menolong ibu menganyam daun nipah untuk dijadikan atap dan bakul dan dijual kepada Mak Cik Yam yang datang setiap minggu untuk dijual di bandar. Hajat hatiku yang ingin sekali melihat Su ke asrama akhirnya terkabul juga. Aku tahu Su akan mendapat pelbagai kemudahan dan bantuan pelajaran yang lebih baik di sekolah barunya nanti. Wang jualan pisang tadi aku berikan semuanya kepada ibu. Aku lihat ibu mengukir senyuman payah yang sukar ditafsirkan.
“Akhirnya dapat juga Su masuk asrama. Kalau ayah ada, tentu dia gembira, Su,kata ibu kepada anak bongsunya yang duduk di sisi sambil menggenggam erat RM50 yang kuberikan tadi.
Aku lihat mata ibu mulai berkaca-kaca. Namun, ibu yang perasan aku memerhatinya, cepat-cepat mengalihkan mukanya ke tempat lain.
“Amir, dah cukup ke duit nak hantar Su ke Kedah?” tanya Adi kepadaku ketika kami berdua di dalam bilik.
“Entahlah, nak kata tak cukup, aku tengok ibu tu, gembira je. Tak ada pun Nampak macam ibu runsing memikirkan mana nak cari duit untuk Su. Kenapa?” aku bertanya pula pada adik lelakiku itu.
“Yelah, cuba kau ingat balik. Duit jualan hasil tanaman ibu yang kita jual pada Pak Din semalam tu pun baru dapat RM50. Duit jual atap dan bakul adalah dalam RM100. Buku Su, kain baju, kasut, keperluan asrama, semuanya belum beli lagi. Ibu ada duit ke?” adikku menyatakan kemusykilannya padaku.
Setelah mendengar kata-kata Adi, barulah aku terfikirkan semua itu. Kami sama-sama keluar menuju ke pangkin yang terletak di luar rumah. Aku duduk termenung di situ. Adi pula hanya mendiamkan dirinya sambil kakinya menguis-nguis tanah. Tiba-tiba Su keluar dari rumah, menuruni anak tangga anjung yang mulai reput diratah anai-anai. Dia nampak resah, barangkali kerana dia turut memikirkan apa yang abang-abangnya runsingkan.
“Amir, kau ada bawa balik buku akaun tak?” tanya Adi.
“Ada, tapi kenapa? Kau nak buat apa dengan buku akaun aku tu?” aku cuba mendapatkan kepastian dan penjelasan daripada adikku.
“Macam ni. Kitakan ada dapat biasiswa kerajaan. Jadi aku cadangkan supaya esok kita ke bandar keluarkan duit untuk belikan keperluan Su ke asrama nanti. Apa pendapat engkau?” tanya Adi kepadaku sekaligus menjawab persoalanku tadi.
“Bagus juga cadangan kau tu, Adi. Tapi aku boleh tolong sikit aje, dalam dua ratus ringgit saja. Sebab duit yang lain tu aku nak gunakan untuk bayar buku dan tuisyen sekolah,” aku menerangkan kedudukan kewanganku kepada adik lelakiku.
Su yang sedari tadi berdiam diri duduk di sebelah kami tiba-tiba menangis teresak-esak. Serentak, aku dan Adi menoleh kepadanya.
“Eh, Su, kenapa kau menangis pulak ni?” tanyaku kepada Su.
“Amir, Adi, Su tak tahu nak cakap apa. Su pun tahu ibu tak ada duit, dan Su dah dengar apa yang kamu berdua bualkan tadi. Semua barang keperluan Su belum dibeli lagi. Sekarang kamu berdua nak gunakan duit biasiswa pula,” kata Su sambil tersedu-sedan.
Su menekup mukanya dengan tapak tangannya yang kasar kerana sering melakukan kerja-kerja berat demi membantu ibu.
“Su, aku dengan Adi gembira kau dapat masuk asrama macam kami berdua, tahu? Cuma dulu ayah yang tanggung perbelanjaan kami berdua. Sekarang ayah dah tak ada dan menjadi tangggungjawab kami untuk membantu kau. Kami nak cita-cita kau untuk menjadi seorang doktor tercapai. Kitakan adik-beradik. Kita berkawan, bermain sejak dari kecil lagi. Janganlah kau fikir yang bukan-bukan, Su….” aku tidak mampu untuk meneruskannya lagi. Rasa sebak di hati tidak mampu lagi untuk aku melindunginya.
Mata kami bertiga mula berair. Ruang pangkin sepi seketika, semuanya menahan rasa sebak. Ayah yang dahulunya berjuang membangunkan keluarga kini telah pergi dan takkan kembali lagi.
“Dahlah tu, yang penting Su kena belajar betul-betul bila sudah sampai Kedah nanti, jangan lupakan ibu yang dah banyak berkorban untuk kita,” sambungku lagi.
Kata-kataku mati setakat itu sahaja apabila ibu muncul dari belakang rumah. Aku cepat-cepat memberi isyarat kepada adik-adikku agar mengesat air mata mereka sebelum disedari ibu.
“Eh, dah makan ke belum? Kenapa tak makan lagi ni, dah sejuk nasi dan lauk di dapur tu. Hish, kamu ni. Sudah, pergi makan cepat,” kata ibu menyuruh kami bertiga segera makan.
Su dan Adi masih berusaha melindungi tangisan mereka yang sebenarnya jelas kelihatan. Namun, ibu seperti tidak perasankan semua itu. Kami bangun menuju ke dapur dengan langkah yang berat. Tudung saji dibuka dan terhidanglah nasi kosong, kicap, ikan masin dan pucuk ubi rebus. Tidak berselera kami dibuatnya, walhal itulah menu kami hampir setiap hari. Kami menunggu ibu untuk makan bersama. Tidak lama kemudian, ibu muncul di pintu dapur dan menyertai kami. Aku selaku anak lelaki sulung membacakan doa makan sebelum kami mula menjamu selera.
“Dah, makanlah. Jangan tunggu lagi. Ibu dah lapar ni,” kata ibu apabila menyedari kami masih berdiam diri.
Aku dan adik-adik yang tadinya tunduk, mengangkat muka dan memandang muka tenang ibu yang cengkung itu.
“Ibu tahu kamu semua sedang berfikir tentang Su. Sudahlah, janganlah kamu semua risau. Su tetap akan ke Kedah.”
Kami adik-beradik melongo seperti orang tua bangka yang baru diajar subjek matematik tambahan. Setiap butir perkataan ibu menjadi perhatian buat kami. Ibu akhirnya menyambung lagi.
“Ibu dah jualkan rantai peninggalan arwah ayah kamu dan wangnya ibu belanjakan untuk barang keperluan Su,” ibu bangun dan masuk ke biliknya.
Seketika kemudian ibu keluar dengan membawa beg plastik besar yang berisi pelbagai kelengkapan sekolah. Su bangun dan mengambil kasut sekolah barunya yang dihulurkan ibu. Digenggam erat kasut itu sambil air matanya mengalir keharuan.
“Semuanya dah ada Su. Semuanya dah cukup. Pergilah dengan hati yang gembira. Ibu doakan semoga Su berjaya,” Su mengangkat mukanya dan melihat ibu tersenyum seraya mengangguk.
Su mendekati ibu dan memeluknya. Aku dan Adi terharu melihat episode keluarga kami pada hari itu. Segala rancangan kami untuk membantu Su terbatal. Ibu lebih jauh di hadapan kami.
* * * * *
Lamunanku terhenti dek titisan air mata yang jatuh ke pipi. Aku bersyukur kerana ibu dapat mendidik kami hingga berjaya dan kini Su telah bergelar seorang doktor. Aku pula kini menjawat jawatan pengurus di salah sebuah syarikat gergasi di Malaysia manakala Adi menyambung pelajaran di luar negara di University of Manchester, Institute of Science and Technology (UMIST) dan sekarang sedang bercuti semester. Di kesempatan ini, aku dan Su memohon cuti selama seminggu agar kami dapat bersama-sama Adi yang pulang ke tanah air untuk menghabiskan cuti semesternya di kampung.
Kini, ibu telah pergi menyambut seruan Ilahi setahun yang lalu. Ketika itu, Adi sahaja yang tidak berpeluang menghadiri upacara pengkebumian ibu kerana ketika itu dia sedang menduduki peperiksaannya di luar negara. Sungguhpun sedih, namun Adi redha dengan pemergian ibu yang tercinta.
Perlahan-lahan, kami bertiga masuk ke dalam rumah yang telah meninggalkan sejuta kenangan bersama arwah ayah dan ibu yang pastinya tersemat di kalbu kami untuk selama-lamanya. Menitis air mata kami ketika melangkah masuk ke dalam rumah. Masih terngiang-ngiang di telinga gurau senda kami bersama ayah dan ibu. Namun, itu semua hanyalah khayalan kami yang tidak mungkin terulang kembali.
‘Pergilah ibu..pergilah ayah… Amir di sini mendoakan kesejahteraan ibu dan ayah di sana. Amin….’ detikku di dalam hati tatkala kami ke kawasan perkuburan ibu dan ayah yang diletakkan bersebelahan pada petang itu. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka berdua.
Al-Fatihah~

1 Tinggalan Kata-kata:

inspirasi iman said...

ini cerita dari hati?? sgt baik.. sgt memberi pengajaran.. myentuh tepat ke dalam hati.. kasih ibu.. kasih ayah..tidak mampu dinilai dengan harta mahupun airmta.. sgt sgt bernilai

Related Posts with Thumbnails