“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambanya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami telah berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkannya sebahagian daripada ayat-ayat Kami, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (Al-Isra’ : 1)
Perkataan post-mortem sering dikatikan dengan sesuatu yang telah berlaku. Sebagai umat Islam, kita semua maklum bahawa tarikh 27 Rejab mengingatkan kepada satu peristiwa penting dalam sejarah Islam. Satu peristiwa yang kebenarannya tidak perlu diragui dan kelogikannya tidak perlu disoal-selidik. Sebagaimana Saidina Abu Bakar menjadi orang pertama yang mempercayai dan membenarkannya sebaik sahaja selepas berlakunya peristiwa tersebut walaupun tidak mengetahui secara terperinci pada awalnya, apatah lagi kita yang seolah-olah telah hafal dengan setiap inci perjalanan peristiwa tersebut apabila telah didedahkan sedari kecil lagi..
Sekadar memperingati peristiwa ini begitu sahaja tidak akan berguna jika tidak diambil apa yang tersirat disebalik isyarat-isyarat yang Allah tunjukkan sepanjang perjalanan israk dan mikraj Nabi Muhamad SAW ini. Jadi kita akan cuba menjalankan post-mortem bagi memfokuskan kepada satu falsafah besar yang terkandung dalam peristiwa ini iaitu ‘memanusiakan manusia’. Ianya juga merupakan matlamat diutuskan para nabi dan ditanzilkan Al-Quran. Terdapat banyak isyarat yang Allah perlihatkan untuk menunjukkan kemuliaan manusia agar manusia itu sendiri terus kekal dengan fitrahnya sebagai manusia.
Fokus terbesar di dalam agenda memanusiakan manusia ini ialah solat. Ketika bertemu dengan Allah Taala, Nabi SAW telah menerima arahan supaya mendirikan solat lima waktu sehari semalam. Timbul persoalan di sini, mengapa dalam perkara berkaitan ibadah solat Nabi SAW dibawa bertemu dengan Allah untuk menerimanya sendiri, berbanding dengan arahan-arahan syariat lain yang memadai wahyunya diturunkan melalui perantaraan Jibril sahaja. Jika diteliti, ini dalah satu isyarat bahawa kedudukan kemuliaan manusia itu adalah selama mana mereka berhubung dengan Allah Taala. Putusnya hubungan ini bermakna terputuslah kemuliaan manusia, bahkan kedudukannya itu bertukar menjadi lebih hina daripada binatang.
“Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian dan kemudian kami telah hinakan mereka dengan sehina-hinanya kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka balasan yang tidak terputus” (A-Tin : 4-6).
Maka, Allah SWT dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNya telah menghadiahkan kepada umat manusia solat ini sebagai satu ibadah harian yang kerap dilakukan untuk dijadikan tali penghubung secara terus antara manusia dengan Allah SWT sebagai proses untuk memanusiakan manusia. Dan sekaligus ianya menjadi satu tapak kukuh bagi terlaksananya syariat-syariat yang lain. Atas dasar inilah, jika kita lihat falsafah disebalik mengapa arahan hijrah berlaku selepas israk mikraj. Proses pembentukan peribadi manusia yang yakin, redha dan tabah dengan arahan hijrah meninggalkan kampung halaman, sanak-saudara ini bermula daripada solat itu sendiri. Inilah uslub tarbiah yang berkesan, oleh kerana syariat Islam itu difardhukan kepada manusia dan hanya akan dilaksanakan oleh manusia itu sendiri, maka sebelum perintah pelaksanaan syariat itu dikeluarkan, perintah untuk membentuk manusia-manusia yang akan melaksanakan syariat tersebut perlu dikeluar dan disyariatkan terlebih dahulu.
Namun menjadi persoalannya kini, mengapa ramai orang yang mendirikan solat tetapi tidak juga berjaya memanusiakan diri mereka sebagai manusia? Dan untuk menjawab persoalan ini, sekali lagi mari kita cari isyarat di dalam kisah agung ini. Ini dapat dilihat ketika proses awal Nabi SAW diisrakkan untuk menerima arahan solat tersebut. Menurut Anas bin Malik; bahawa sebelum Baginda diisrakkan, datang kepada Baginda akan malaikat Jibril lalu dibelah dadanya kemudian dibersihkan dengan air zamzam dan kemudian diisi di dalamnya iman dan hikmah. Ini merupakan satu isyarat bahawa susunan perjalanan kehidupan manusia perlu sentiasa diiringi dengan muhasabah dalam usaha untuk sentiasa membersihkan dirinya daripada kekotoran jiwa yang disedari atau tidak disedari. Jadi, apa yang berlaku kini menandakan solat yang dilakukan hanya semata-mata ikutan dan kealpaan mereka menilai dan bermuhasabah diri mereka sebelum mendirikan solat. Ya, tiada pembersihan jiwa yang dilakukan sebelum mendirikan solat menyebabkan solat itu tidak berjaya memanusiakan manusia yang melakukan solat itu sendiri.
Peristiwa agung israk mikraj yang dialami Nabi Muhammad SAW jika diteliti satu-persatu memang terdapat banyak isyarat-isyaratnya. Terpulang kepada manusia itu sendiri sama ada mahu mencari isyarat-isyarat tersebut ataupun sekadar hanya mengambil tahu akan peristiwanya sahaja. Marilah sama-sama kita membuat post-mortem lagi untuk mencari isyarat-isyarat lain yang boleh dikongsikan bersama, InsyaAllah.
Wassalam...
0 Tinggalan Kata-kata:
Post a Comment