Manusia dalam tamadun Barat, telah mampu memakmurkan bumi dan memanfaatkan sumber yang dimilikinya. Ia menghiasi bumi dengan keindahannya, kadang-kadang ia dihiasi indah umpama seorang pengantin dan kadang-kadang ia dihiasi dalam keadaan tercela umpama seorang pelacur. Ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh tamadun Barat telah dapat mewujudkan sesuatu yang belum pernah terlintas dalam benak generasi-generasi sebelumnya. Lantas ia dikuasai oleh rasa sombong dan berbangga terhadap dirinya. Kesombongan ini hampir-hampir membuat dirinya mempunyai anggapan bahawa ia berkuasa atas segala sesuatu dan bangsa-bangsa lain di dunia adalah abdi kepada mereka kerana mereka maju, sedangkan yang lainnya mundur. Walhal kemajuan itu bersifat juz’i dan bukannya kulli dan ia masih bersifat tidak sempurna.[1]
Fenomena ini wujud berpunca daripada kealpaan dan kelalaian manusia daripada tugas dan fungsi mereka yang utama iaitu sebagai hamba kepada Allah dan dalam masa yang sama sebagai khalifah-Nya untuk memakmurkan bumi ini.
Akibat daripada salah faham terhadap tuntutan-tuntutan Islam itu sendiri, ramai di kalangan umat Islam di serata dunia pada hari ini terkeliru mengenai fenomena ini. Umat Islam terseret jauh ke dalam kancah kegawatan tamadun Barat ini yang telah membawa kepada kehancuran umat Islam itu sendiri. Ketiadaan khilafah Islamiyyah yang berautoriti dan bersifat rashiduun di atas muka bumi ini dan kemunculan negara-negara kecil Arab yang sujud di kaki kebiadapan penjajah kuffar serta ulama'-ulama' yang bersifat apologetik dan pengampu kepada pemerintah yang zalim yang merupakan boneka kepada representatif-representatif penjajah yang telah pulang ke negara asal mereka tetapi masih mengawal bekas tanah jajahan mereka melalui wakil-wakil tempatan mereka adalah hasil daripada kelalaian umat Islam itu sendiri dan tamparan kepada mereka akibat mereka tidak melaksanakan hukum Allah dan sunnah rasul-Nya di muka bumi ini.
Oleh yang demikian adalah perlu dan genting bagi umat Islam untuk memilih hala cara baru untuk menyelamatkan tamadun mereka dari lembah kehancuran. Para sarjana dan ilmuan Islam telah mengemukakan berbagai-bagai pendekatan dan saranan yang bertujuan untuk menyelamatkan umat daripada terus hanyut dalam arus kehancuran tamadun Barat. Salah satu pendekatan yang telah disarankan ialah dengan melalukan reformasi masyarakat melalui apa yang dikenali sebagai “Masyarakat Madani”, sebuah masyarakat yang pernah dibentuk oleh Rasulullah S.A.W. di Madinah kira-kira 14 abad lalu.
Selain daripada sarjana-sarjana Islam, terdapat juga sarjana Barat yang pernah mengutarakan kelemahan-kelemahan masyarakat moden hari ini. Riggs menyebut bahawa modernisme membawa bersamanya faedah dan bencana pada masa yang sama. Kedua unsur faedah dah bencana ini saling kait mengait dan selalunya agak sukar untuk menikmati faedah tanpa mengalami bencana. Contohnya kita tidak dapat menikmati faedah menaiki kenderaan di jalan raya tanpa melalui risiko mengalami kemalangan jalan raya. Begitu juga kita tidak dapat menikmati faedah perubatan moden tanpa “risiko” pertambahan bilangan manusia dan pertambahan warga tua.[2] Gellner misalnya memulakan pembicaraannya tentang masyarakat sivil dengan mengatakan ianya adalah kelahiran semula sebuah ideal.[3] Toynbee pula sependapat dengan Ibn Khaldun mengenai peranan agama dalam memperkukuh pembinaan tamadun manusia. Beliau merumuskan bahawa agama lahir daripada tamadun yang sudah lemah atau sedang runtuh dan empunyai peranan penting sebagai mangkin atau perangsang kepada tamadun yang lemah tersebut. Toynbee sangat prihatin terhadap krisis moral dan keruntuhan tamadun Barat akibat gejala peminggiran terhadap agama Kristian dan meramalkan bahawa Barat akhirnya akan didominasi oleh satu agama yang berkembang dari timur.[4] Kemunculan semula idea masyarat sivil dewasa ini berlaku dalam situasi yang lebih bersemangat dan ghairah. Demikianlah yang terkesan dari nada pelbagai perbincangan mengenainya termasuk yang termuat dalam buku Emerging Civil Society in the Asia Pacific Community suntingan Tadashi Tamamoto.[5]
[1] Dr. Yusuf Al-Qardhawi, Al-Islam ... Hadharah Al-Ghad, ms. 227.
[2] Fred W. Riggs, The Modernity of Ethnicity and Conflict, ms. 2.
[3] Ernest Gellner, Membangun Masyarakat Sipil: Prasyarat Menuju Kebebasan, dipetik daripada Siddiq Fadhil, Masyarakat Madani: Menghayati Cita-cita Sosial Keislaman dan Kemalaysiaan, ms. 41.
[4] Arnold Toynbee, dipetik oleh Wan Hashim Wan Teh, Tamadun Silam dan Pembinaan Tamadun Abad ke 21, ms. 15.
[5] Siddiq Fadhil, supra, nota 3.
Sabar Dan Teruskanlah
1 month ago
0 Tinggalan Kata-kata:
Post a Comment