Have an account?

Monday, May 25

Perlunya Perubahan yg Konsisten..


Dewasa ini kita melihat pelbagai gejala telah melanda negara dari pelbagai sudut. Bermula daripada krisis sosial yang melanda masyarakat terutamanya golongan muda, diikuti pula dengan krisis ekonomi dan akhirnya menjadi lebih besar kepada krisis politik. Hal ini di sebabkan pelbagai kelemahan yang berlaku pada urusan mentadbir negara. Suasana yang kurang menyenangkan ini perlu dibuat satu perubahan.

Sebagai seorang pelajar muslim, kita kurang senang dengan senario yang berlaku kini. Sebagai langkah asas, perubahan jangka panjang yang perlu kita rencanakan ini perlu ada latihan asas dari segi teori dan praktik mudah di bangku sekolah. Lantaran remaja kini juga ramai yang telah tenggelam dengan arus yang ada, maka kita perlu melayari bahtera Islam untuk mengubah masyarakat dan negara pada masa akan datang. Tidak lain dan tidak bukan asas tersebut ialah dengan persatuan, badan dakwah atau pertubuhan yang wujud.

Takrif Dakwah

Apabila kita membicarakan tentang dakwah ini, maka yang dimaksudkan dakwah itu ialah segala risalah yang dibawa oleh Baginda SAW daripada segala kandungan AL-Quran dan As-Sunnah. Sesungguhnya dakwah yang dibawa itu merupakan agama, cara hidup dan nikmat yang sempurna di sisi Allah. Firman-Nya :


ومن يبتغى غير الإسلام دينا فلن يقبل منه وهو فى الأخرة لمن الخاسرين


maksudnya: sesiapa yang mencari sistem hidup selain daripada Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan mereka di hari akhirat tergolong daripada orang-orang yang rugi.[1]


Dakwah dari segi bahasa ialah mengajak, memberi semangat dan tunjuk ajar, mempertahankan atau menetapkan sesuatu sama ada sesuatu itu benar atau batil.


Dakwah dari segi istilah yang dimaksudkan di sini ialah:

a) mengasaskan masyarakat Islam seperti dakwah Rasul SAW yang bermula daripada masyarakat jahiliyah kepada agama Allah SWT dengan menyampaikan wahyu-Nya dan memberi peringatan tentang syirik.


b) Dakwah bagi mengislah dan memperbaiki masyarakat daripada sebarang bentuk kesesatan, bid’ah, kemungkaran dan meninggalkan yang wajib.


c) Berterusan dengan dakwah terhadap kaum masyarakat dengan menpertahankan kebenaran dengan menjaga kesejahteraannya dengan nasihat dan petunjuk yang baik serta peringatan , pengajian dan penyucian.

Kewajipan Dakwah Serta Tuntutannya

Dakwah menjadai tuntutan kepada umat Islam yang baligh, berakal, mumayyiz dan mampu melaksanakannya. Banyak dalil-dalilnya antaranya:

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada dari kalangan kamu satu ummah yang mengajak kepada kebaikan, menyeru makruf dan mencegak kemungkaran dan mereka adalah golongan orang yang berjaya.”

Dalam hal ini Rasulullah menjelaskan lagi dengan hadis Baginda SAW yang bermaksud:


“Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemunkaran, maka hendaklah diubah dengan tangan[2], seandainya tidak mampu maka dengan lidah dan perkataan, sekiranya tidak mampu maka mesti mencegahnya dengan hati. Dan mencegah atau benci dengan hati itu merupakan selemah-lemah iman.”

Begitu juga dengan sirah para Nabi dan Rasul serta ulama-ulama yang mahsyur. Mereka menjalankan tuntutan dakwah ini dengan segala usaha dan pengorbanan sebagai seorang hamba dan khalifah di muka bumi Allah ini. Tujuannya tidak lain mengajak manusia kepada mentaabudkan diri kepada Allah serta melaksanakan amanah sebagai pentadbir di muka bumi ini. Dalam usaha menjalankan dakwah ini, mereka menerima pelbagai cubaan dan mehnah serta tribulasi hingga menggadaikan nyawa mereka sendiri. Namun begitu mereka tidak merasa cemas, sedih atau menyesal. Mereka yakin bahawa daripada usaha tersebut dan izin Allah, mereka akan diganjari dengan pelbagai nikmat baik di dunia sekalipun dan lebih-lebih lagi di hari akhirat kelak. Firman Allah SWT maksudnya:

“Dan apakah kalam dan perkataan yang paling baik daripada mereka yang mengajak kepada Allah dan beramal soleh dan menyatakan bahawa aku daripada orang muslimin.”

Justeru, kita perlu sedar bahawa tugas dakwah ini bukan suatu perkara yang terasing dalam kehidupan kita sebagai pelajar. Ini adalah sunah kehidupan dan menjadi tanggungjawab kita sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini.

Mengapa Pelajar @ Remaja ?

Setelah kita mengetahui kewajipan dan tuntutan dakwah, timbul pula persoalan. Adakah kita sebagai seorang pelajar atau remaja perlu terlibat dalam kancah ini? Sedangkan dalam masa yang sama kita mempunyai kewajipan untuk belajar? Dalam hal ini para pelajar perlu faham bahawa kedua-dua hal ini perlu dilihat dalam perperstif yang berbeza. Persoalan belajar adalah persoalan kita mengukuhkan ilmu, fikrah, jiwa serta apa-apa jua yang berkaitan dengan diri kita sendiri. Persoalan dakwah pula adalah berkaitan dengan masalah yang berlaku di sekeliling kita. Lantaran suasana yang berlaku di sekeliling kita mendesak kita untuk menjalankan tugas dakwah ini, maka kita sebagai pelajar tidak dapat tidak perlu melibatkan diri secara langsung dengan kemampuan dan medan yang kita berada.


Sebagai pelajar dan remaja, perlu disedari hakikat bahawa kita merupakan generasi masa depan yang akan menggantikan kepimpinan ummah yang wujud kini. Lantaran kesedaran di atas dasar ingin membuat reformasi ke atas perkembangan umat Islam yang berlaku kini, maka ia menuntut pengorbanan dan usaha dari seluruh tenaga, masa dan material kita untuk menaikkan syiar Islam.


Bagi menentukan maju atau mundurnya sesebuah bangsa itu, maka kita hanya perlu melihat kepada pemudanya. Sekiranya pemudanya hidup dalam keadaan yang leka, membuat maksiat dan engkar dengan perintah Allah, maka cukuplah untuk kita melihat akan kemusnahan bangsa. Namun, seandainya pemuda dan pemudinya sentiasa peka, takwa dan beriman kepada Allah dan hari akhirat serta bersedia membuat perubahan, maka kita akan dapat lihat bangsa tersebut akan dinaikkan darjat mereka di dunia dan di akhirat. Itulah hakikat maksud kata-kata Imam Al-Ghazali tentang golongan pemuda.


Begitu juga kalau kita semak kembali sirah perjuangan Rasul SAW, ramai di kalangan para sahabat terdiri daripada pemuda-pemuda seperti Abu Ubaidah Al-Jarrah, Saad Bin Abi Waqqas, Ali Bin Abi Talib dan ramai lagi. Mereka adalah pemuda-pemuda bagi membantu perjuangan Rasul SAW terutamanya ketika Islam mula-mula ditegakkan.


Dalam suasana pengajian, kita tidak perlu memberikan alasan untuk tidak bersama-sama menceburi dalam bidang dakwah ini. Bukan masalah masa yang tidak cukup, ilmu yang masih tidak mantap, tidak yakin pada diri sendiri dan sebagainya yang merupakan jawapan-jawapan yang sering diutarakan, tetapi perlu kita sedar seandainya kita tidak berubah dari sikap lama kita dan tidak mengambil endah akan hal ini, maka masyarakat dan negara akan dijajah dengan pelbagai bentuk penjajahan yang baru.

[1] Surah Ali Imran ayat 85
[2] ada ulama yang berpendapat maksudnya kuasa, pemerintahan.


Perlunya perubahan yg sntiasa dan dirancang..


Wassalam..

0 Tinggalan Kata-kata:

Related Posts with Thumbnails