Allah dalam hati kita,” agar kita dibayangi kasih saying
Allah dengan apa yang kita lakukan, dalam kehidupan
harian yang banyak menjurus kepada habuan duniawi lebih
daripada mengingati Allah.
Kita perlu meletakkan dalam minda beberapa persoalan
untuk dijawab, di mana ia boleh membantu meningkatkan
iman,hubungan serta keupayaan untuk majudalam
pelaksanaan ibadat yang sangat-sangat dituntut oleh
Islam.
Persoalan seperti-adakah kita telah mengagungkan Allah
dalam perkara yang patut diagungkan? Bagaimana pula
keagungan terhadap Allah menyerap masuk dalam sanubari
kita?
Sehubungan ini, Saidina Ali bin Abi Talib ada
mengungkapkan kata-kata masyhurnya yang memuji golongan
solihin, antara lain beliau menyebut: sesungguhnya
keagungan Allah sentiasa bertapak dalam hati, apa yang
mereka lihat selainNya adalah kecil belaka.
Cuba perhati serta renung secara mendalam kehidupan
golongan solihin, yang penuh dengan pujian terhadap
Allah atas segala keagungan ciptaanNya.
Suasana ini telah menjadikan mereka sentiasa cermat
dalam bertindak, berusaha tidak menyinggung kesucian
Islam dengan kata-kata atau perbuatan. Mereka hanya
takut kepada Allah dan tidak kepada makhluk apatah lagi
derhaka kepadaNya.
Keagungan hanya layak disanjung terus kepada Allah,
tidak memohon sesuatu melainkan kepadaNya. Hati mereka
hanya berpaut hanya untukNya, semua yang ada di muka
bumi ini kerdil dan bersifat sementara, hanya Allah
sahajalah yang kekal tanpa kesudahan.
Justeru, di manakah kita terhadap cinta kepada Allah?
Bagaimana hubungan kita denganNya? Adakah kita
benar-benar memelihara kebenaran konsep cinta hanya
kepadaNya atau ada yang lain turut menerima cinta kita
untuknya? Adakah kita telah melakukan apa yang
dikehandakiNya dalam proses kita meletakkan cinta hanya
kepadaNya?
Perhatikan firman Allah kepada nabi Daud : “Wahai Daud!
Sesungguhnya engkau menghendaki sesuatu daripadaKu, Aku
pun menghendaki sesuatu daripadamu. Jika engkau
benar-benar taat kepadaKu pada apa yang Aku mahu, maka
Aku akan permudahkan apa yang engkau mahu. Jika engkau
menentangKu pada apa yang Aku mahu, maka Aku akan
menyusahkan engkau, maka berusahalah pada apa yang Aku
mahu.
Dalam suasana yang lain pula, Allah ada menyatakan dalam
sebuah hadis Qudsi yang bermaksud : “jika mana-mana
hambaKu mentaatiKu, maka Aku reda (rela) kepadanya,
bila Aku redha kepadanya maka akan Aku berkati seluruh
hidupnya, sesungguhnya keberkatan Aku tidak ada
penghujungnya, dan jika hambaKu melakukan maksiat
kepadaKu, Aku marah kepadanya, bila Aku marah kepadanya
maknanya Aku melaknatnya.
Ketahuilah sekalian umat Islam, walau di mana mereka
berada, dalam apa jua jawatan yang disandangnya,
sesungguhnya Allah tidak suka kepada hambaNya yang
memenuhi ruang hidupnya dengan pelbagai kebendaan dunia,
hingga tiada ruang Allah di dalam hatinya.
Apatah lagi untuk mengingatiNya dengan berzikir, jika
Allah Maha Besar dalam segenap tindak-tanduk hambaNya,
anak yang disayangi dijadikan korban tanpa berbelah
bagi, itulah terjadi yang kepada Nabi Ibrahim yang
menyembelih anak kerana patuh kepada perintah Allah.
Dalam hal ini, baginda Rasulullah dan para sahabat tidak
banyak bertanya, apatah lagi ragu terhadap perintah
Allah untuk menghalakan kiblat ke Baitullah (Kaabah).
Walaupun sebelum itu kiblat yang dihalakan adalah Masjid
al-Aqsa, kerana Allah adalah segala-galanya dalam hidup
mereka.
Hidup dan mati mereka hanya untuk Allah dan bukan yang
lain, kerana yang lain selain Allah akan mati dan
memerlukan sokongan lantaran kelemahan dan tidak
sempurna.
Waktu sesuai untuk mendampingi Allah
Sekali lagi kita tanya diri sendiri “Di mana Allah dalam
hati kita?” Adakah kita rasa amat gembira bila dapat
berdamping denganNya atau sebaliknya? Adakah kita telah
berusaha agar Allah sentiasa bersama kita?
Kalau begitu, sejauh manakah kita rasa gembira menerusi
solat yang dilaksanakan ketika mendampingi dan
bermunajat kepadaNya?
Apakah yang kita dapat rasai ketika sujud di dalam solat
dan sejauh mana kita meneruskan zikir terhadapNya bukan
hanya terbatas selepas solat, ingatlah ketika Allah
menyebut : “Aku bersama hambaKu ketika dia mengingatiKu
dan kedua-dua bibirnya bergerak keranaKu”
Adakah kita dapat meluangkan sepertiga malam untuk
menyepi diri bersama Allah? Tidakkah kita teringat akan
janji-janji Allah kepada kita yang mampu bangun di
tengah malam-Allah menyebut: “adakah terdapat hambaKu
yang bangun di tengah malam untuk bertaubat, di mana Aku
menerima taubatnya, yang memohon keampunanKu, maka Aku
ampunkan segala dosa-dosanya dan memohon sesuatu maka
Aku berikan kepadanya”
Tidakkah kita mahu berusaha untuk menjadikan hati-hati
kita ini penuh dengan pujian kepada Allah, berkorban
keranaNya untuk meninggikan syiar agamaNya walaupun
menghadapi pelbagai rintangan dan halangan.
Berapa banyak ruang yang ada pada kita untuk
memerhatikan segala nikmat yang dianugerahkan Allah ke
atas kita, terus bersyukur kepadaNya tanpa sebarang
perasaan prejudis. Pernah terlintas dalam pemikiran kita
bagaimana Allah menganugerahkan nikmat hidayah,
kesihatan, harta, ilmu pengetahuan, kepandaian,
kemahiran, bakat, anak-anak, ibu bapa, isteri atau suami
kepada kita.
Atau kita hanya sekadar menerima nikmat tanpa sebarang
balasan untuk beramal dan mematuhi segala titah perintah
Allah.
Sesungguhnya ketahuilah wahai saudara saudari seagama!
Dunia dan bumi yang kita pijak ini menjanjikan pelbagai
kehancuran, ia boleh berlaku pada apa yang kita ada atau
kita cari, termasuk harta benda, anak-anak, pangkat dan
jawatan, tapi apa yang penting, di mana Allah dalam hati
kita?
Jika tergerak hati untuk melakukan sesuatu kejahatan,
tanyalah diri di mana Allah dalam hati kita? Allah kah
yang patut dicari atau maksiat yang patut ditembusi,
bagaimana keadaan saya ketika hendak bertemu dengan Allah
(mati) sedangkan saya melakukan maksiat kepadaNya?
Apabila kita ingat Allah pada waktu susah, pasti Allah
akan ingat kita pada waktu kita senang dan lapang.
Demikianlah peringatan yang perlu kita sama-sama
ingatkan antara satu sama lain, agar Allah ada dalam
hati kita sama ada pada perkara sekecil-kecilnya atau
yang sebesar-besarnya, Tanya diri – di mana Allah dalam
hati kita?
1 Tinggalan Kata-kata:
hari hari deritaku..saat ini hanya pada Allah ku bergantung..ku bersandar.. saat ini ku lemah, ku yakin Allah ada membantuku.. walau sakit ku masih mahu menjadi hamba yg bersyukur.. kerna ku masih bernafas.. iltizam..andai ku sembuh ku mahu jadi hamba yang bersyukur.. tapi Allah bukan dihati tapi lebih dekat pada leher..pada urat nadi.. dengan itu, kita menyerahkan seluruh ruh dan jasad hanya untuk NYA.. kerna sedekat itu, kita tdk akan mahu ketawa panjang.. namun terus mengingati NYA, melaksanakan suruhanNYA,,,
Post a Comment