Have an account?

Thursday, February 4

Mahasiswa Mendepani Perubahan


Nama mahasiswa yang berada di atas bahu para pemuda dan pemudi terpilih di seluruh tanah air merupakan suatu amanah yang tidak boleh dipandang enteng. Justeru peranan kita adalah begitu penting bagi memastikan kita mampu menjadi pemimpin generasi akan datang . Di dalam proses penerusan kepimpinan ini, ia bukanlah berlaku secara tiba-tiba tetapi ia akan menjelang melalui suatu proses pertukaran kepimpinan negara, organisasi besar dan kecil, seterusnya menjadi tokoh-tokoh yang akan menentukan halacara negara dan dunia pada masa akan datang.



Dalam proses membuat suatu perubahan, begitu banyak persediaan perlu dimantapkan dalam diri mahasiswa. Kita tidak perlu menunggu sehingga lengkap segala persediaan untuk mengatur tindakan ke arah perubahan tetapi segala persediaan perlu diperkemas setiap saat manakala dalam pada masa yang sama tindakan mengiringi.

Bentuk persediaannya adalah seperti berikut:

‌أ. Peningkatan Ilmu
Ilmu mestilah menjadi asas kepada semangat juang para mahasiswa, tanpa ilmu semangat yang berkobar-kobar mungkin sahaja boleh dipadamkan dengan ugutan, ancaman, tawaran wang dan harta benda dan sebagainya. Prinsip pegangan kita juga begitu mudah berubah mengikut peluang yang lebih menyenangkan. Ilmu bersama kejelasan matlamat Islam akan menjadi tunjang terkuat dan syarat asas kepada seluruh gerakan Dakwah Islamiyyah .

Justeru dengan ilmu serta rasa tanggungjawab penuh terhadap agama, negara dan bangsa. Mahasiswa akan mampu mendepani dan mengharungi ranjau serta onak tanpa berundur. Jikalau pun berundur berundur mereka berundur penuh perancangan dan strategi.

Sabda Baginda SAW:

Mafhumnya:
“Sesungguhnya kamu akan terus berada diatas kejelasan (kebenaran) hinggalah datang kepada kamu 2 kemabukan: Kemabukan Jahil dan mabuk cintakan dunia”

Rasulullah SAW juga bersabda:

Mafhum :
‘Saling bernasihatlah dalam ilmu serta janganlah kamu tutup ilmu itu anatra satu sama lain, kerana khianat pada ilmu itu lebih besar dosanya daripada khianat pada harta’ (Riwayat Abu Nai’m)

‌ب. Kematangan Pemikiran dan Pengalaman
Kematangan dalam menentukan tindakan yang paling tepat lagi berkesan akan dapat menghasilkan keberkesanan gerakan mahasiswa dalam mempelopori sesuatu perubahan.

Kepentingan pengamatan terhadap pengalaman terdahulu dimuatkan panduannya dalam Al-Quran sebagimana firman Allah :

Mafhumnya:
“ .. dan pada hari ini, kami kekalkan tubuh badan Fir‘aun sebagai tauladan kepada mereka yang selepas daripadanya”

Mahasiswa perlu menjadi pemerhati yang celik, pengamat yang teliti, pembaca yang tertib, perancang yang berstrategi serta pendesak yang berkesan. Untuk mencapai tahap tersebut kita tidak boleh lari daripada memperbanyakkan dialog dan perbincangan dengan para ulama’, cendiakawan, para pimpinan negara, pemimpin parti-parti alternatif, pakar-pakar, ahli profesional dan ahli masyarakat. Natijahnya dengan kefahaman itu mahasiswa akan mampu membuat keputusan yang berjejak di atas alam realiti berdasarkan pemikiran pelbagai lapisan masyarakat

Selain itu, mahasiswa harus giat mencari dan mengejar ilmu-ilmu yang diperlukan untuk menghidupkan teori yang dipelajari , usaha dan kerja keras sangat mustahak dalam proses ini. Inilah yang dikehendaki oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya :

Mafhum:
“Kebijaksanaan itu adalah barang tercicir daripada orang mukmin, maka sekiranya kamu menjumpainya kamulah paling layak untuk mengambilnya”

Ini membawa maksud Rasul mengajar kita mencari kebaikan di pelusuk alam, apabila diperolehi mesti ke atas kita mengambilnya demi untuk kebaikan dan kepentingan Islam.

‌ج. Kesatuan Pemikiran dan Tindakan Gerakan
Perpaduan antara beberapa pertubuhan mahasiswa perlu digemblengkan. Kefahaman yang jelas antara gerakan mahasiswa terutamanya yang kumpulan mahasiswa Islam sangat penting dan merupakan antara pra-syarat kepada keberkesanan gerakan dakwah. Justeru kefahaman akan tuntutan Islam antara sesama sendiri perlulah diselesaikan terlebih dahulu kerana ia akan mampu menyelasaikan cabangan-cabangan masalah lain .


Wassalam..


Related Posts with Thumbnails