Have an account?

Saturday, January 24

Ular besar benam orang tinggalkan solat


RASULULLAH saw bersabda yang bermaksud: “Sesiapa meninggalkan solat dengan sengaja, maka sesungguhnya ia kafir yang nyata.”Berdasarkan hadis inilah, sebahagian ulama berfatwa tidak wajib menyembahyangkan jenazah seseorang yang meninggal dunia dan mengaku Islam tetapi sejak dari muda hingga tua tidak pernah mengerjakan solat, malah ada yang mengatakan haram menyembahyangkan individu berkenaan.


Seksaan dan azab bagi orang yang lalai serta meninggalkan solat seperti sabda Rasulullah: “Siapa meringan dan melalaikan solat lima waktu yang difardukan ke atasnya, akan menerima seksaan atau azab Allah dengan 15 azab.”


Enam daripada seksaan itu diterima di dunia, tiga ketika hampir ajalnya, tiga ketika berada di dalam kuburnya dan tiga lagi ketika berjumpa Allah pada hari kebangkitan kelak.


Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, apakah seksaan ketika di dunia?”


Baginda menjawab:


- Hilang berkat umurnya (hidup percuma dengan kekosongan, jika kelihatan hidupnya mewah, kemewahan itu hanya istidraj belaka).


- Hilang keberkatan rezekinya (rezekinya terbuang sia-sia, walaupun kaya tetapi kekayaan itu menjadi laknat ke atasnya).


- Dihilangkan Allah tanda soleh pada mukanya.


- Tidak diakui masuk golongan Islam (zahirnya saja Islam tetapi batinnya munafik, malahan dia termasuk golongan munafik).


- Segala amal baiknya (sedekah dan sebagainya) tidak diberi ganjaran.


- Doanya ditolak Allah.


Menurut hadis yang diriwayatkan Ibnu Abbas, katanya: Aku dengar Rasulullah bersabda: “Bermula orang meninggalkan solat itu, bukanlah dia daripada golongan Islam. Allah tidak terima tauhid dan imannya dan tidak ada faedah sedekah, puasa dan syahadatnya.”


Kemudian bertanya lagi sahabat: “Ya Rasullullah, apa pula seksaan yang akan diterimanya ketika hampir ajalnya?”


Jawab Baginda:


Adalah matinya dalam kehinaan iaitu, rohnya dicabut dengan kasar dan tidak ada belas kasihan.


- Matinya juga dalam kelaparan, bukan kerana tiada makanan tetapi nafsunya tiada lagi, perut lapar tetapi tidak dapat makan sesuatu kerana hebat dan sakitnya ketika rohnya akan keluar.


- Matinya juga dalam kehausan, malah jika dituang dan diberi minum air dari semua lautan di dunia ini ke mulutnya, tidaklah memberi apa-apa kesan pada dahaganya ketika sakaratul maut itu.


Sahabat bertanya lagi: “Ya Rasulullah, apa pula seksaan di dalam kuburnya?”


Rasulullah bersabda: “Disempitkan Allah kuburnya, digelapkan Allah kuburnya, dan akan diperintahkan oleh Allah beberapa malaikat menyeksanya hingga hari kiamat dengan tidak berhenti-henti.”


Ada riwayat menyatakan, orang yang meninggalkan solat, akan Allah hantarkan kepadanya seekor ular besar bernama Suja’ul akra’, yang matanya daripada api, mempunyai tangan dan berkuku besi, dengan membawa alat pemukul dari besi berat.


Ia akan berkata, kepada si mati dengan suaranya bagai halilintar: “Aku disuruh oleh Allah memukul engkau sebab meninggalkan solat daripada Subuh hingga Zuhur, kemudian daripada Zuhur ke Asar, dari Asar ke Maghrib dan daripada Maghrib ke Isya hingga sampai waktu Subuh.”


Lalu Suja’ul akra’ terus memukul mayat orang yang meninggalkan solat dan setiap kali dipukul, mayat itu terbenam ke dalam bumi beberapa ratus hasta.


Kemudian dikeluarkan mayat itu dengan kuku besinya lantas ditanya lagi dan dipukul lagi dengan hebat dan dahsyat sekali. Demikianlah terus-menerus hari demi hari hingga hari kiamat.


Sahabat bertanya lagi: “Ya Rasulullah, bagaimanakah keadaan orang yang meninggalkan solat ketika di depan Allah?”


Jawab Baginda: “Ketika bertemu Allah pada hari kiamat kelak, datanglah malaikat menyeksanya dengan rantai panjang. Rantai itu diikat ke leher orang yang meninggalkan solat serta dimasukkan ke mulutnya dan dikeluarkan melalui duburnya. Kemudian rantai itu ditarik-tarik dan disentap-sentap.


Malaikat yang menghelanya berteriak: Inilah balasan bagi orang meninggalkan solat yang difardukan. Kemudian orang itu ditarik serta dilemparkan ke neraka bernama Saqar.”


Perihal orang meninggalkan solat dihina oleh Allah dinyatakan sebagaimana firman Allah dalam ayat 42, Surah al-Muddatsir, yang bermaksud:


Apakah yang menyebabkan kamu masuk neraka Saqar ini? Mereka (penghuni) berkata dengan rasa sedih dan kesal adalah kami ini orang yang meninggalkan solat.”


Kedua, ketika berjumpa Allah, orang yang tidak menunaikan solat tidak akan mendapat keampunan Allah dan ketiga, ketika dibangunkan semula pada hari kebangkitan, Allah tidak menaruh rahmat dan belas kasihan kepadanya.


Firman Allah yang bermaksud; “Mereka yang mensia-siakan solat dan mengikuti hawa nafsu kepada kejahatan, maka tetaplah mereka jatuh ke dalam satu telaga api neraka.” (Surah Maryam, ayat 59). Firman-Nya lagi, yang bermaksud: “Neraka Wil adalah bagi orang yang lalai dari solatnya,” (Surah Al-Maa’un, ayat 6).


Malah Rasulullah bersabda, yang bermaksud: “Apabila seorang ham-ba Allah itu meninggalkan satu fardu solatnya, akan dituliskan namanya di pintu neraka.”

0 Tinggalan Kata-kata:

Related Posts with Thumbnails