Have an account?

Saturday, January 24

Wanita dalam Islam sebenar

Kedudukan kaum wanita dalam masyarakat Islam agak menyedihkan. Mereka dipersendakan pada sesetengah majlis syarahan agama, dikenakan beberapa peraturan yang ketat, atau disifatkan lebih rendah daripada kaum lelaki. Mereka menjadi mangsa keganasan lelaki, mangsa dalam perceraian, mangsa yang digantung tidak bertali, atau mangsa yang sanggup membuang bayi yang dilahirkannya dengan banyak kepayahan. Kemelut ini berpunca dari kejahilan yang terbit dari input yang tidak sempurna dalam didikan agama. Input yang dimaksudkan ialah ajaran daripada Allah yang terkandung di dalam al-Qur’an.


Ciptaan


Perempuan yang pertama dicipta Allah ialah isteri Adam. Dia dicipta untuk menjadi pasangan bagi Adam, atas kehendak Allah sendiri, Yang mencipta semuanya berpasangan (43:12). Daripada Adam dan isterinya, lahirlah kaum lelaki dan perempuan yang berkembang biak, dan pada hari ini mereka berjumlah kira-kira 5.7 bilion kesemuanya. Mereka dicipta agar takut kepada-Nya. Firman-Nya, "Wahai manusia, takutilah Pemelihara (Tuhan) kamu Yang mencipta kamu daripada jiwa yang satu, dan daripadanya Dia menciptakan pasangannya (isterinya), dan daripada keduanya, ditaburkan di merata-rata banyak lelaki dan perempuan" (Ayat pertama, Surah ke 4, berjudul "Perempuan"; atau lazimnya ditulis seperti 4:1).


Pengasihan


Antara lelaki dan perempuan, Allah mengadakan pertalian persahabatan (9:71). Namun, yang paling manis sekali yang diadakan-Nya pada mereka ialah perasaan cinta dan pengasihan, seperti kata-Nya yang berbunyi "Dia mengadakan di antara kamu, cinta dan pengasihan" (30:21). Perasaan cinta dan pengasihan ini selanjutnya mengikat kedua-dua jantina ini dalam ikatan perkahwinan agar mereka dapat hidup bersama, dengan halal, dan bersatu dalam kebahagiaan.


Perkahwinan, yang disuruh Allah, adalah lawan bagi amalan zina. Ini disimpulkan setelah diperhati tiap-tiap ayat al-Qur'an yang mengandungi kata ikatan perkahwinan, di mana kata ini sentiasa dituruti kata lawannya, iaitu perzinaan. Sebagai contoh ialah ayat yang berbunyi "Maka kahwinilah mereka dengan izin keluarga mereka .... sebagai wanita-wanita dalam ikatan perkahwinan, bukan dalam perzinaan" (4:25).




Perzinaan tidak berlaku sekiranya kesopanan dijagai, dan Allah ditakuti. Kesopanan bagi lelaki dan perempuan semasa mereka berinteraksi sebagai sahabat telah disebut, iaitu mereka diperintah supaya mengawal pandangan dan menjaga kemaluan mereka. Akan tetapi, bagi kaum wanita (kerana kewanitaannya) ditambah lagi dan tambahannya adalah seperti yang tersurat di dalam sebuah ayat yang panjang berbunyi,


"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan menjaga kemaluan mereka, dan tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang nampak daripadanya;


Dan hendaklah mereka meletakkan penudung (mantel) mereka pada dada mereka, dan tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa suami mereka, atau anak lelaki mereka, atau anak lelaki suami mereka, atau saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara perempuan mereka, atau perempuan mereka, atau apa yang tangan kanan mereka memiliki (hamba daripada rampasan perang),


Atau lelaki yang melayan mereka yang tanpa mempunyai keinginan seks, atau kanak-kanak kecil yang belum mengerti aurat (bahagian-bahagian sulit) perempuan" (24:31).


Ayat ini menggesa kaum wanita supaya tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada orang-orang yang rapat seperti yang telah disebut. Kata perhiasan selalu dituju kepada barang-barang kemas. Akan tetapi perhiasan perempuan di sini bermaksud bahagian anggotanya yang di dada, yang digesa supaya ditutup dengan penudung. Penudung, atau kata Arabnya di situ, khumur, adalah bukan tudung kepala perempuan. Dalam bahasa Inggeris ia adalah veil yang juga tidak bermaksud tudung kepala perempuan. Lazimnya tudung kepala perempuan dikaitkan dengan jilbab (33:59), juga diterjemah kepada 'penudung', yang bermaksud "pakaian luar; gaun panjang yang menutupi seluruh badan, atau mantel yang menutupi leher dan payudara" [The Holy Qur'an, Abdullah Yusuf Ali (1946), halaman 1126, nota kaki 3765]. Ia bukan tudung kepala.


Maka, pakaian wanita haruslah labuh dan menutup bahagian dada mereka. Atau dada ditutup dengan sehelai kain lain yang dipanggil khumur.


(Tudung kepada yang kini dipakai oleh kaum wanita adalah 'mandil' dalam bahasa Arab. Ia bermaksud kerchief; handkerchief; head kerchief, dalam bahasa Inggeris. Tetapi ia tidak terdapat di dalam al-Qur'an.)


Tudung Kepala


Apa yang dikatakan perhiasan itu tidak termasuk bahagian-bahagian anggota di kepala seperti rambut, mata, mulut, hidung, telinga, dan pipi wanita. Andaikata bahagian-bahagian anggota wanita ini wajib ditutup, dengan tudung kepala supaya tidak dilihat oleh lelaki (seperti yang diwajibkan dalam ajaran agama ulama palsu), maka kaum lelaki pun patut menutup bahagian-bahagian tersebut kerana kaum wanita juga boleh berkeinginan pada lelaki dengan hanya melihat bahagian-bahagian tersebut. Kemungkinan ini dibayangkan Allah di dalam al-Qur'an dengan sebuah cerita mengenai Nabi Yusuf yang digoda oleh wanita-wanita, termasuk isteri pembesar, kerana dia kelihatan begitu menawan (iaitu daripada bahagian-bahagian anggotanya yang dapat dilihat).


Perhiasan wanita boleh bermaksud payudaranya. Payudara perempuan yang lanjut usia pun tidak seharusnya dinampakkan seperti perempuan lain. Firman-Nya, "Bagi perempuan-perempuan yang melewati umur mengandung, dan tiada harapan untuk berkahwin, tidak ada kesalahan ke atas mereka untuk menanggalkan pakaian mereka, tanpa menunjuk-nunjukkan perhiasan; tetapi jika mereka menahan, adalah lebih baik bagi mereka" (24:60).


Malah, dalam sebuah ayat yang terdahulu di dalam al-Quran, mengenai pakaian manusia, Allah menyatakan bahawa Dia telah menurunkan "pakaian untuk menutupi bahagian-bahagian aib" (7:26). Tentu sekali maksud kata bahagian aib itu tidak termasuk bahagian-bahagian di kepala wanita, mahupun lelaki.


Dengan adanya beberapa petunjuk daripada al-Qur’an, maka Islam yang sebenar tidak mewajibkan wanita bertudung kepala.


Kata aurat yang turut disebut di dalam ayat yang panjang tadi (24:31) bermaksud bahagian-bahagian sulit, yang orang-orang berkeinginan seks meminati, tetapi tidak dimengertikan oleh kanak-kanak kecil. Kata ini memang sudah disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu dalam Islam. (Sila rujuk Kalimat aurat di dalam al-Qur'an.)

0 Tinggalan Kata-kata:

Related Posts with Thumbnails