Have an account?

Tuesday, April 21

Rahsia Kejayaan Generasi Awal


Kejayaan generasi para sahabat yang dibentuk Rasulullah SAW dalam mengejar matlamat hidup bukanlah kerana mereka memiliki pelbagai wasilah dan alat kelengkapan yang cukup. Rahsia kejayaan mereka ialah keimanan sejati, kepatuhan maksimum terhadap titah perintah Allah SWT dan cita-cita mendalam untuk mendapat keredhaan serta pahala daripada-Nya. Inilah rahsia menyebabkan mereka bersedia penuh menyahut setiap hajat dan keperluan Islam dari masa ke semasa. Juga rahsia yang mendorong mereka berkorban dan bangun melaksanakan setiap tuntutan Islam tanpa rasa berat walaupun menghadapi pelbagai kesukaran.


Islam berhajatkan kerja-kerja da’wah. Maka tampillah para du’at yang jujur, berani dan sabar menyampaikan risalah Allah SWT melalui lisan dan contoh teladan meskipun menghadapi berbagai halangan dan tentangan daripada musuh. Mereka tetap meneruskan kerja-kerja da’wah tanpa takut atau mundur ke belakang.



Islam memerlukan pengorbanan harta benda. Maka tampillah mereka yang memiliki harta benda dan kekayaan, lalu menginfaq kepada Rasulullah SAW dengan penuh rela tanpa rasa bakhil atau sayang kepada harta benda itu. Hinggalah terdapat di kalangan mereka yang berkata kepada Rasulullah SAW, “Apa yang tuan ambil daripada kami adalah lebih baik daripada apa yang tuan tinggalkan.”


Islam berkehendakkan pengorbanan jiwa untuk mempertahankan kesuciannya daripada dicemari musuh. Maka berlumba-lumbalah mujahid-mujahid dan pejuang-pejuang Islam memberi khidmat suci demi menyahut panggilan Allah SWT. Sungguh banyak pengorbanan, sumbangan dan khidmat bakti mereka untuk kepentingan Islam semata-mata.
Wassalam...

0 Tinggalan Kata-kata:

Related Posts with Thumbnails